20 September 2025 - Persidangan AIPA 2025 yang berlangsung di Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur telah menghimpunkan para delegasi dari seluruh negara anggota ASEAN dalam membincangkan isu-isu penting berkaitan pembangunan, kerjasama serantau serta masa depan generasi muda ASEAN.
Seramai 4 orang ahli Kelanasiswa Politeknik Kota Bharu turut serta sebagai sukarelawan sepanjang persidangan berlangsung, iaitu Muhammad Haikal Hakim bin Soh Kamarudin, Muhammad Farieshhuddin bin Mohd Rosdi, Nur Asiah Amirah binti Subni, dan Nur Aina Hafizah binti Abd Rahaman. Mereka turut diiringi oleh Pemimpin Pengiring, Pn. Mariati binti Ahmad, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kelanasiswa Malaysia Politeknik Kota Bharu. Kehadiran mereka sebagai barisan sukarelawan memberi pengalaman berharga dalam pengurusan acara antarabangsa yang melibatkan pemimpin negara, diplomat serta wakil parlimen ASEAN.
Sepanjang empat hari penganjuran, para sukarelawan didedahkan dengan pelbagai tugasan yang menuntut disiplin, kerjasama berpasukan serta kemahiran komunikasi dalam suasana multinasional. Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh jaringan ukhuwah dan kefahaman budaya, malah turut memberi peluang untuk mengasah kepimpinan, keyakinan diri dan semangat kesukarelawanan pada peringkat lebih luas.
Pesuruhjaya Kebangsaan – Program (Inisiatif Global dan Perkongsian Strategik), Ts. Dr. Manivannan Rethinam, yang juga merupakan Ahli Panel Global bagi Safe from Harm, World Scouting (WOSM), telah menyampaikan ucapan pembukaan bertajuk “World Scouting Advancing on Peace, Sustainability and Youth Leadership” sempena Now and Future Conference & Exhibition 2025.
Selain itu, para peserta turut berbesar hati menerima kunjungan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke reruai Pengakap Malaysia, di mana pelbagai inisiatif pergerakan Pengakap dipamerkan, merangkumi pembangunan komuniti, pemeliharaan alam sekitar, kepimpinan belia serta kerjasama antarabangsa.
Penyertaan ini juga menjadi bukti bahawa Politeknik Kota Bharu bukan sahaja melahirkan graduan yang berkemahiran teknikal, malah turut membentuk pelajar yang cakna terhadap isu serantau serta berdaya saing di peringkat antarabangsa. Dengan pengalaman ini, para sukarelawan diharap dapat berkongsi ilmu, inspirasi dan semangat kesukarelawanan dengan rakan-rakan di kampus, sekali gus menjadikan Kelanasiswa sebagai platform melahirkan pemimpin masa depan yang berwawasan.
Persidangan ini melabuhkan tirai pada 20 September 2025 dengan penuh kejayaan, meninggalkan pengalaman bermakna buat semua yang terlibat, termasuk sukarelawan Kelanasiswa yang telah menyumbang tenaga dan bakti mereka.
Semoga penyertaan dalam AIPA 2025 menjadi pemangkin semangat kepada generasi muda untuk terus berbakti, menyumbang idea serta membina masa depan bersama di pentas antarabangsa.