Seramai 20 orang pelajar dari Tahfiz Al Manar Melor telah mengikuti Kursus Asas Pendawaian Elektrik Satu Fasa yang dianjurkan oleh Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Kota Bharu (PKB) melalui program Reskilling and Upskilling (RUC) pada 8 November 2025.
Program yang dijalankan selama satu hari ini bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran asas pendawaian elektrik kepada pelajar tahfiz, khususnya dalam aspek pemasangan, penyelenggaraan dan keselamatan elektrik di kediaman. Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar yang terdiri dari Jawatankuasa RUC, Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKB.
Penganjuran kursus ini merupakan usaha berterusan PKB dalam memperkukuhkan pembelajaran sepanjang hayat serta memperluas akses pendidikan teknikal kepada komuniti tahfiz.
Sepanjang kursus ini, peserta didedahkan kepada beberapa modul termasuk Pengenalan Keselamatan Elektrik, Pengenalan Komponen dan Simbol Elektrik, Amali Pendawaian Litar Lampu dan Soket, serta Ujian Keselamatan Litar. Aktiviti amali turut dijalankan secara berkumpulan bagi memberi pengalaman kerja sebenar kepada peserta.
Program ini turut menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan penglibatan masyarakat dalam bidang kemahiran teknikal serta memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran ini juga diharap dapat mengukuhkan hubungan strategik antara institusi pendidikan TVET dan institusi tahfiz sekaligus memberi peluang pembangunan kemahiran kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang.