UNIT KESELAMATAN
- Butiran
- Jumlah paparan: 7
Mengenai Kami
PENGENALAN
Unit Keselamatan Politeknik Kota Bharu (PKB) telah disahkan penubuhannya bermula pada 17 Julai 2025 bagi memastikan keselamatan, kesihatan, dan kebajikan seluruh warga politeknik termasuk pelajar, staf, pelawat, persekitaran serta perlindungan institusi. Penubuhan unit ini adalah selaras dengan garis panduan dan terma yang telah ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi memastikan pengurusan keselamatan di PKB dilaksanakan mengikut akta dan peraturan yang telah ditetapkan. Unit ini bertanggungjawab merancang, menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerjaan dan keselamatan perlindungan PKB.
Di bawah Unit Keselamatan, terdapat tiga jawatankuasa utama yang memainkan peranan penting. Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) berfungsi untuk merancang, mengurus, dan melaksanakan Pelan Tindakan Kecemasan PKB dengan menyediakan pasukan tindak balas segera sekiranya berlaku insiden seperti kebakaran, bencana alam, tumpahan bahan kimia dan lain-lain, selain melaksanakan latihan kebakaran, pencegahan banjir, serta pengendalian insiden kesan daripada perubahan cuaca, ini bagi memastikan tahap kesiapsiagaan warga PKB berada pada tahap terbaik.
Seterusnya, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) serta semua keperluan yang digariskan oleh DOSH. JKKP bertanggungjawab melaksanakan penaksiran risiko tempat kerja, menyediakan langkah mitigasi, menjalankan audit keselamatan berkala, dan memastikan prosedur keselamatan dipatuhi oleh semua pihak termasuk staf, pelajar dan kontraktor disemua tempat kerja.
Akhir sekali, Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan (JKP) bertanggungjawab terhadap kawalan keselamatan kampus dengan memantau rondaan keselamatan, menyelia sistem pemantauan seperti CCTV dan kad akses, mengurus pencegahan risiko pencerobohan, kecurian, dan kerosakan asset, memastikan keselamatan data seterusnya memastikan prosedur perlindungan politeknik dijalankan secara berkesan, teratur dan selaras dengan peraturan keselamatan yang ditetapkan oleh JPM.