17 Mei 2023, POLITEKNIK KOTA BHARU : YBrs. Ts. Zainab Binti Othman, Ketua Pengarah (Kompetensi), JPPKK telah merasmikan Majlis Penutup Karnival TVET@PolyCC yang telah berlangsung bermula 15 - 17 Mei 2023. Majlis ini telah berlangsung di Dewan Jubli Perak, PKB. Turut hadir bersama YBrs. Sr. Mohd Fikri Bin Ismail,Pengarah Politeknik Kota Bharu, YBrs. Ir Haji Mohd Zaidi Bin Che Mod, Timbalan Pengarah Akademik, Pengarah – Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Kelantan dan Terengganu, Ketua-ketua jabatan,Ketua-ketua unit serta pegawai-pegawai kanan PKB.
 
Karnival ini yang dianjurkan oleh Politeknik Kota Bharu bersama Persatuan Alumni PKB telah mengadakan pelbagai acara dan program bagi memeriahkan karnival ini antaranya Pertandingan Inovasi TVET, Pertandingan Drone TVET, Pertandingan E-Sport, Pertandingan Kebudayaan, CSR @Karnival TVET, Program Promosi Kesihatan, Persembahan Kebudayaan, Seminar Keusahawanan, Gerai Keusahawanan, Netball 3 on 3, Colour Run, Street Soccer, Aero – Big, Pameran Dron.
 
Ts. Zainab binti Othman berkata, “Pada hari ini, sistem pembelajaran berbekalkan teori semata-mata sudah tidak relevan dan tidak mampu memberi kelebihan kepada golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan. TVET atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional merupakan satu sistem pendidikan yang menggarapkan kombinasi ilmu pengetahuan serta latihan kemahiran untuk menyediakan tenaga kerja yang kompeten, terlatih serta berkemahiran tinggi sepertimana tuntutan industri.
 
Menurutnya lagi, Karnival TVET@POLYCC dilihat amat bertepatan dengan situasi semasa kerana tuntutan kemahiran yang tinggi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 adalah begitu ketara. Proses penjenamaan semula bidang pekerjaan yang dilabel sebagai 3D iaitu kotor, sukar dan berbahaya adalah penting supaya dilihat sebagai suatu lubuk pekerjaan yang mempunyai nilai dan potensi untuk diceburi oleh modal-modal insan berkemahiran tinggi keluaran institusi TVET Malaysia.
 
Menurut Sr Hj Mohd Fikri bin Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu berkata “Saya tak sangka penyertaan Pertandingan Inovasi TVET mendapat sambutan yang tinggi, Pertandingan Inovasi TVET yang berobjektifkan melahirkan para pelajar yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi serta membudayakan inovasi telah menerima penyertaan sangat mengalakkan dan berjaya mengumpulkan 36 kumpulan iaitu melibatkan 158 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar institusi TVET antaranya Politeknik, Kolej Komuniti, Kolej Vokasional, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara serta Institut Kemahiran Belia Negara sekitar Negeri Kelantan dan Terengganu.
 
Selain daripada itu, karnival ini juga mendapat penyertaan memberangsangkan dalam program keusahawanan pelajar. Melalui program ini, diadakan program Seminar Keusahawanan serta pengalaman jual beli dengan pembukaan 25 buah gerai usahawan daripada yang terdiri daripada pelajar Politeknik, Kolej Komuniti, IKBN, IKTBN dan Kolej Vokasional Kelantan dan Terengganu.
 
Bagi memeriahkan lagi karnival, Pertandingan Drone TVET yang diadakan telah mendapat sambutan yang sangat tinggi daripada sekolah – sekolah sekitar Kelantan dan Terengganu. Melalui pertandingan ini, penyertaan peserta daripada 30 buah sekolah melibatkan 80 orang pelajar.
 
Secara keseluruhanya karnival ini mendapat sambutan yang sangat baik dan Berjaya mendedahkan bidang TVET kepada pelajar serta komuniti setempat.
 
Disediakan oleh :
Unit komunikasi dan Hubungan Korporat (UKK)
POLITEKNIK KOTA BHARU
21 Mei 2023